Friday, 9 November 2012

Terpandu Kerana " Al-Fahmu "


"Apa yang menggerakkan kakimu ini di jalan Ilahi? "

Otak ini kuperah layaknya kain yang basah. Ah.. baru ku sedar aku tidak pernah mendefinisikannya, atau menyisih dan mendalaminya. Setelah 3 sesi pengajian aku menyelusuri jalan perjuangan. "Apa?  Apa yang menggerakkan kakiku di jalan ini, dan rabitah hati yang terus menerus disulam di jalan Ilahi. Kerana apakah? Kerana Ukhuwwah kah? Kerana Syahid kah? Mardhotillah kah? Atau kerana apa ? Kerana apa??? "Otakku, nuraniku, jiwaku, ragaku, fizikalku langsung dikerah diperah...

"Kerana apa ?"

Lalu aku menyelam ke dalam dasar hati walau aku tidak pandai berenang. Ada lubuk di situ lantas aku menerjah ke dalamnya. Aku menjadi lemas sendiri namun lubuk itu sungguh tenang menurut perkiraanku. Nafas yang tercungap menimbulkan satu buah rasa pada fikrah ku ini.


Drive? Apa tu? Oh....maksudnya memandu/menggerakkan/membawa.
Maksudnya seperti kereta. Bukankah kereta itu yang selalu digunakan untuk membawa dan menggerakkan kita?
Kereta pula, jenis apa ya yang baik?
Lagi, kalaulah semakin perlahan atau meragam, maka maintainance perlu dilakukan. Dan lagi, kalau sudah mahu habis minyak, perlu diisi lagi. Jangan sampai tersadai dulu ditepi jalan baru hendak dicari minyak.
Minyak hitam pula, perlu ditukar ya?.

Lagi apa ya?

Kalau kotor perlu dibasuh dan disental. Untuk selesa, pasang pewangi di dalamnya. Perlu ada radio bimbang mengantuk, dan jadi peneman kala sunyi. Angin tayar juga harus diperiksa selalu.
Apa lagi ya..? Bawak juga harus berhati-hati, jangan sampai kemalangan dan ingatlah orang tersayang.
aku menjawab tenang "Al-Fahmu"
Entah kenapa jawapan itu terbit dari bibirku tapi aku percaya perkara ini yg menggerakkan tubuhku untuk terus memikul beban dakwah ini.

Berkata Imam Hassan al-Banna : "al-Fahmu muqaddamu 'ala al-Amri wa an-Nahyi" "Kefahaman itu adalah pendahulu kepada perintah dan suruhan"

Ya.... AL-FAHMU!!


Rukun Al Fahmu dengan 20 prinsipnya merupakan deklarasi bahawa Islam adalah penyelesaian. Kerana Islam adalah penyelesaian maka kaedah-kaedah yang ada dalam Al Fahmu ini akan menjadi kaedah dasar dalam melakukan segala aktiviti.  Seperti halnya yang telah diterangkan pada prinsip pertama dalam rukun Al-Fahmu ini tentang Syumuliatul Islam (kesempurnaan Islam):

Prinsip 1,
“Islam adalah sistem yang syamil (menyeluruh) mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ia adalah Negara dan tanah air, pemerintahan dan umat, moral dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang, ilmu pengetahuan dan hukum-hakam, materi dan kekayaan alam, penghasilan dan kekayaan, jihad dan dakwah, serta pasukan dan pemikiran. Sebagaimana ia juga aqidah yang murni dan ibadah yang benar, tidak kurang tidak lebih”

Prinsip pertama ini mengajarkan kepada kita bahawa aktiviti kita sehari-hari bukan hanya aktiviti semata yang tidak berlandaskan pada Islam, setiap muslim harus menyedari, mengetahui, meyakini dan mengamalkan Islam sesuai dengan kebesaran Islam itu sendiri. Sehingga semua permasalahan kehidupan baik yang yang pribadi dan yang lebih besar daripada itu disandarkan pada tata aturan Islam.

Tidak ada pemisahan antara agama dan negara, seperti ungkapan ,” berikanlah hak negara kepada raja, dan berikanlah, hak agama kepada Tuhan.” Tidak akan pernah ada sekularisme dan liberalism dalam pemikiran dan aktiviti lainnya di muka bumi ini. Dan hal ini sepadan dengan firman Allah yang memerintahkan umat Islam untuk masuk ke dalam agama Islam secara kaffah.

Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. (Al-Baqarah:208)

Perbahasan mengenai Rukun Al Fahmu dan 20 Prinsip ini sudah banyak sekali bertebaran di buku-buku yang ditulis oleh para pewaris Dakwah Imam Syahid Hasan Al Banna. Inti dari landasan Syar’I berlandaskan Rukun Al Fahmu dapat kita ketahui diakhir rukun Al Fahmu ini Imam Syahid Hasan Al Banna mengakhiri dengan kata-katanya:

“Apabila saudaraku Muslim mengetahui agamanya dalam kerangka prinsip-prinsip tersebut, maka ia telah mengetahui makna dari Syi’arnya : Al Qur’an adalah undang-undang kami dan Rasul adalah Teladan kami. Artinya kerangka aktiviti hidup kita di dunia harus selalu berada dalam pedoman Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah Saw.

Ini baru satu perinsip daripada rukun Al-Fahmu, ada lagi 19 prinsip yang perlu pendokong dakwah ini mengetahui selumat-lumatnya supaya perjalanan dakwah itu mengalir terus tanpa disekat oleh masalah diri mahupun ancaman luar. Jadi, takkan duduk je? Jomm! tambah thaqafah dan murnikan akhlak (n_n)

Hasan Al-Banna juga pernah mengatakan mengatakan; "Antum ruhun jadidah tasri fi jasadil ummah." Kamu adalah ruh baru yang mengalir di tubuh ummat.
Dari ungkapan ini sangat jelas bahwa seorang kader dakwah haruslah berada di tengah-tengah ummat. Dia harus menjadi anasir taghyir (unsur perubahan) bahkan menjadi sumbu putar bergeraknya masyarakat. Moga kita semua adalah sebahagian daripada anasir taghyir yang membawa perubahan kebaikan pada ummat. Justeru, perlunya kepada kefahaman sebagai benteng kepada diri agar tidak goyah dengan sebarang ancaman.

"Pembudayaan Ilmu Tunjang Produktiviti Cemerlang"

Saturday, 15 September 2012

Basah dalam Ujian

Bismillahirrahmanirrahim...

Hidupnya aku hari ini dengan izin daripadaNYA. Allah masih lagi memberikan kepada diriku nikmat yang tidak semua manusia akan meraih nikmat tersebut, iaitu Iman dan Islam.

Saudara,
Terkadang saat kita lemah, kita akan mencari kekuatan,
saat kita berada didalam kegelapan, kita akan mencari sumber cahaya...
Alhamdulillah dan syukur kepada Allah yang memberikan aku tarbiyyah yang begitu mengigit jiwa..



Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Dan kami pasti akan menguji kamu dgn sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditmpa musibah, mereka berkata "inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali) (Surah al-baqarah ayat 155-156)




“Dan sungguh, kami benar-benar akan menguji kamu sehingga kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan kami uji perihal kamu….” (Surah Muhammad, ayat 31)

Kata Imam Ghazali, hati ini sangat berkait rapat dengan akal, kalau aku nak gambarkan kepada kamu hubungan ini adalah umpama sebuah bangunan yang mempunyai pintu dan dalamnya ada org berlindung mendapatkan perlindungan..


umpamanya kita melihat kota yang besar itu, rakyat yang berada dalam kota tersebut dan dinding kota tersebut...itulah perkara yang berkait rapat antara akal dan juga hati.

Akal, dia adalah rakyat yang sedang mendapatkan perlindungan itu. Manakala hati, itulah kota dindingnya. Kalau kota/hati itu tidak kuat, maka serangan akan masuk kedalam utk memberi kesan dan mempengaruhi akal yang berada didalamnya.
Begitulah perbandingan antara hati dan juga akal...

Pesanan sahabat:
nasihat Luqman Al-Hakim,,ujilah sahabatmu dengan kemarahan,,jika dia tangani kemarahan tersebut dengan kejahilannya,,maka tinggalkn dia..tetapi jika dia tangani dengan bijaksana,,maka jd kan lah dia teman mu 

Kuatkan hati dalam mengharungi Tarbiyyah ini..
Allahu 'Alam~

Friday, 20 July 2012

رمضان كريم



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله وكفى والصلاة والسلام على حبيبنا المصطفى وعلى اله وصحبه المهتدى

Setelah lama tidak menulis, alhamdulillah akhirnya diberi juga kesempatan waktu dan juga kekuatan tubuh badan untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada pada diri yang terlalu hina ini. Sebabnya sudah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menyampaikan ilmu yang kita perolehi walaupun sedikit seperti mana sabda Rasulullah saw :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.
Dari Abdullah bin 'Amr ra., dari Nabi saw, sabdanya: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja,  maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka. 
[Hadith Riwayat Bukhari dan Tirmizi]

Sabda Rasulullah saw dalam riwayat yang lain seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim :

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِيُبَلِّغ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ.
Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi saw, sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya.
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
 
Seperti yang kita tahu, puasa di bulan Ramadhan telah diwajibkan kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad saw dan juga merupakan salah satu daripada rukun Islam. Firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 183 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa”

Jadi insyaAllah pada 1 Ramadhan ini ana ingin berkongsi sedikit ilmu ana mengenai tiga golongan orang yang berpuasa moga-moga member manfaat buat kita bersama.

3 Golongan Orang Yang Berpuasa

3 Kategori orang yang bepuasa yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali :

1)      Puasa Orang Awam

Puasa orang awam bermaksud orang yang berpuasa perut dan kemaluan sahaja. Tetapi mereka tidak menjaga pandangan, pendengaran, hati, kaki, tangan dan lidah mereka daripada perkara-perkara maksiat dan juga mungkar. Maka golongan ini sukar untuk mendapatkan taqwa kepada Allah sedangkan puasa yang disyariatkan oleh Allah swt adalah bertujuan untuk melatih diri kita supaya bertaqwa kepada Allah seperti mana dinyatakan dipenghujung ayat surah al-Baqarah ayat 183 di atas yang berbunyi “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” yang bermaksud “moga-moga kamu bertaqwa”.

Jadi sesiapa yang termasuk di dalam golongan ini hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja seperti mana sabda Rasulullah saw :

من لم يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ و الجهل فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
 
Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, dan berbuat dusta, serta amal kebodohan,maka tiadalah Allah ingin melihat pada amalannya meninggalkan makan dan minumnya.

[Hadith shahih riwayat Bukhari]

2)      Puasa Orang Khawas

Puasa orang khawas adalah peringkat pertengahan. Puasa orang khawas adalah puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi mereka juga menjaga mata mereka daripada melihat perkara mungkar, menjaga lidah mereka daripada menuturkan perkara-perkara yang haram, menjaga kaki mereka daripada melangkah ke tempat-tempat maksiat dan menjaga seluruh pancaindera yang lain daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Inilah yang dimaksudkan puasa orang khawas.

Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah saw :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ الصِّيَامَ لَيْسَ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغُوِ وَالرَّفَثِ فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهِلَ عَلَيْكَ فَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ 

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya puasa itu bukan menahan daripada makan dan minum saja, hanyalah puasa yang sebenarnya ialah menahan daripada ucapan sia-sia (lagha) dan lucah/ mencarut (rafath), maka apabila seseorang mencacimu atau berbuat sesuatu yang bodoh kepadamu katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.”  [Hadith shahih riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim]

Puasa orang khawas ini lebih tinggi daripada puasa orang awam. Puasa orang khawas insyaAllah akan menjadi latihan untuk diri kita menjadi insan yang bertaqwa selepas melalui madrasah Ramadhan ini. Maka marilah kita mencuba dengan sebaik mungkin untuk mendapat puasa di dalam kategori ini.

3)      Puasa Orang Khassul / Khususul Khawas

Kategori ini adalah kategori yang paling tinggi dalam berpuasa. Inilah puasa puasa kalangan Nabi, as-Shiddiqin, orang soleh, para wali dan seumpamanya. Mereka bukan sahaja menjaga anggota zahir daripada melakukan maksiat dan boleh membatalkan puasa tetapi mereka juga menjaga anggota batin daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar yang boleh menghilangkan pahala puasa.

Kategori ini agak sukar untuk dicapai oleh orang biasa seperti kita tetapi ianya juga bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebab bila difikirkan kita mungkin boleh menjaga anggota zahir kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang mampu membatalkan puasa tetapi untuk menjaga hati kita supaya sentiasa ingat kepada Allah dan untuk menjaga hati kita daripada terbayang perkara-perkara yang sia-sia dan boleh mengurangkan pahala puasa adalah sesuatu yang sangat-sangat susah. Hanya mereka yang betul-betul menjaga hati mereka sahaja yang mampu sampai ke tahap ini.
 
Akhirul Kalam dari ana,

Marilah kita beribadat bersungguh-sungguh di dalam bulan yang amalan digandakan dan untuk menampung kembali dosa-dosa yang telah kita lakukan selama 11 bulan yang lalu. Sabda Rasulullah saw :

"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan ganjaran pahala, maka di ampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang."

[Hadith Riwayat Imam Bukhari]

Dan marilah sama-sama kita menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun yang lepas. Marilah kita sama-sama mengambil serius akan peringatan Rasulullah saw dengan sabdanya yang bermaksud :

 ''Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga sahajalah''.

[Hadith Riwayat Ibn Majah dan Nasai]

Moga-moga madrasah Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang terbaik di dalam kehidupan kita supaya kita menjadi hamba yang bertaqwa kepada Tuhannya kerana mungkin ini adalah Ramadhan yang terakhir buat diri kita dan menjadi bekalan buat diri kita ketika berada di Mahsyar kelak. Dan harapannya kita tergolong di dalam golongan yang mampu memasuki syurga melalui salah satu pintu yang khas buat golongan yang berpuasa yang bernama “al-Raiyyan” seperti sabda Rasulullah saw Sahal bin Sa'd :

Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.

[Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad]

Mungkin ramai yang sudah pun tahu tentang 3 golongan orang yang berpuasa ini. Jadi yang telah tahu diharapkan penulisan ini menjadi “tazkirah” atau peringatan kepada kita dan bagi yang mereka yang pertama kali membaca tentang hal ini boleh dijadikan ilmu yang baru buat kita semua.
Wallahu A’lam.

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

" PEMBUDAYAAN ILMU TUNJANG PRODUKTIVITI CEMERLANG "

Muhammad Wafiuddin Bin Rosli
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya Nilam Puri,
Kelantan Darul Naim